Ini merupakan halaman peraturan penggunaan Wiki Alih Suara.
Setiap pengguna Wiki Alih Suara haruslah sentiasa mematuhi peraturan berikut:
Budi pekerti[]
- Jangan lakukan serangan atau kecaman peribadi terhadap orang lain. Jika anda perlu mengkritik hujah pengguna yang lain, lakukanlah dengan penuh sopan santun.
- Amat disarankan supaya berkomunikasi menggunakan bahasa baku sebaik mungkin. Elakkan penggunaan bahasa pasar, bahasa campur (rojak), dan loghat daerah. (Petua: Jika perlu menggunakan istilah asing, gunakan Huruf Besar, 'tanda petikan' atau format italik supaya kelihatan santun dan mudah dibaca.)
- Jangan sesekali menggunakan kata-kata lucah atau kesat.
- Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata yang menghina pihak lain berdasarkan jantina, kaum, agama, kewarganegaraan dan sebagainya.
- Hormati privasi pengguna yang lain. Jika anda diminta untuk berhenti meletakkan kandungan tertentu dalam Wall mereka, sila akur dan hormati keputusan mereka.
Produktiviti[]
- Berikan sumbangan anda kepada wiki dalam bentuk ilmu pengetahuan yang sahih, tepat dan teratur.
- Setiap penciptaan dan suntingan kandungan mestilah dilakukan berpandukan garis panduan yang ditetapkan supaya maklumat yang disampaikan dalam wiki kelihatan seragam, kemas dan teratur.
- Jika anda memerlukan bantuan, sila rujuk kepada halaman bantuan, ataupun tanya admin!
- Jangan lakukan perbuatan vandalisme. Vandalisme terdiri daripada kelakuan-kelakuan berikut:
- Memadamkan halaman atau isi kandungan halaman secara besar-besaran tanpa sebab munasabah
- Menokok tambah isi halaman dengan maklumat yang tidak tepat, tidak relevan, atau mengganggu privasi atau perasaan orang lain
- Elakkan daripada tercetusnya "perang sunting" (edit warring) di mana dua atau lebih penyunting saling menggantikan atau memadamkan hasil edit satu sama lain atas pertikaian mengenai penyampaian isi kandungan rencana. Gunakan halaman perbincangan (Talk) untuk membincangkan isu.
Promosi[]
- Hanya pautan-pautan luar (external links) yang berkaitan dengan topik wiki dan rencana adalah dibenarkan, contohnya pautan ke halaman menonton filem/siri, maklumat IMDb, laman sosial awam tokoh dan sebagainya. Pautan berkenaan haruslah terletak di bahagian bawah sekali rencana di bawah tajuk bahagian
==Pautan Luar==
. - Dilarang meletakkan sebarang mesej berbentuk iklan pemasaran di sebarang tempat, tidak mengira isi kandungan rencana, halaman perbincangan mahupun ruangan komen, blog atau ringkasan suntingan (edit summary). Hanya pihak Fandom mempunyai hak untuk meletakkan iklan di bahagian-bahagian halaman yang ditetapkan.
- Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan tentang pautan yang ingin anda letak, tanyalah admin!
Tindakan admin[]
Pihak admin tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sebarang pengguna yang melanggar peraturan-peraturan wiki, seperti memulihkan halaman ke keadaan asal, memberikan amaran di ruangan Wall pengguna, atau menyekat (block) pengguna daripada menyunting wiki untuk tempoh yang dirasakan setimpal dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Pihak pengawasan juga berhak mutlak untuk "mengunci" (iaitu mengehadkan hak menyunting kepada ahli berpangkat tertentu) sebarang halaman yang didapati sangat terdedah kepada vandalisme atau apa jua tindakan hasad, demi menjaga keselamatan seluruh wiki.
Petua[]
💡 Sekiranya anda tidak sengaja menyebabkan kerosakan pada halaman, segera klik simbol tiga titik dalam ruangan rencana dan pilih "History" pada menu. Kemudian, tekan "undo" pada baris suntingan terakhir (paling atas) untuk memulihkan halaman kepada keadaan sebelumnya.